Monday, August 13, 2012

PELAKSANAAN PROGRAM


Di Prasekolah Unggul, pendekatan berpusatkan murid sangat ditekankan melalui amalan praktik dalam menghasikan produk-produk rekaan. Idea-idea kreatif kanak-kanak diambil kira dalam menghasilkan rekaan mereka. Kanak-kanak akan lebih seronok dan berminat untuk menyiapkan rekaan sekiranya idea mereka disokong oleh guru. Selain itu, pendekatan berpusatkan murid ini memberi peluang kanak-kanak memilih bidang yang diminati serta membina keyakinan diri yang tinggi dalam diri mereka. Ini disokong dengan pendapat Bustam Kamri (2007) yang menyatakan bahawa aktiviti berpusatkan murid bermaksud pembelajaran yang digerakkan atas minat dan dorongan murid. Guru hanya bertindak sebagai pembimbing atau pemudah cara yang menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta memberi pengalaman baru kepada murid tersebut. Menurutnya lagi aktiviti berpusatkan murid sangat sesuai digunakan dalam pendekatan projek.

 Produk ciptaan kanak-kanak akan dipasarkan ke pasaran yang lebih luas melalui E_Unggul iaitu pemasaran secara online.  Kualiti barangan rekaan kanak-kanak dinilai terlebih dahulu sebelum ianya dipasarkan. Pada peringkat awal, guru memainkan peranan penting dalam membina laman sesawang E_Unggul. Namun, dari semasa ke semasa kanak-kanak diajar mengendalikan laman tersebut untuk memasarkan produk rekaan mereka. Ibu bapa atau penjaga juga turut serta dalam membantu memasarkan produk rekaan anak-anak mereka melalui laman E_Unggul. Selain itu, ibu bapa yang sibuk bekerja juga mudah untuk mendapatkan maklumat tentang perkembangan anak-anak mereka dengan mengakses laman E_Unggul. Selain dari pemasaran produk rekaan secara online, kami juga membekalkan ilmu pemasaran secara manual, iaitu berdepan secara langsung dengan pelanggan. Kanak-kanak akan diajar cara dan etika melayan pelanggan dan menonjolkan sikap yakin diri dan cekap semasa berurus niaga. Kanak-kanak dapat menonjolkan bakat interpersonal dalam jualan mereka melalui aktiviti Pameran Kreativiti dan Inovasi yang akan dijalankan pada  bulan April 2012 dan Hari Jualan Terbuka pula akan dilaksanakan pada bulan Oktober 2012.

No comments:

Post a Comment